OGOS 2023

Sarawak Timba Pengalaman Jepun Urus Pelabuhan


TOKYO: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Jepun, semalam mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Pelabuhan dan Dermaga, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pelancongan Jepun (MLIT), Inada Mashiro di ibu pejabatnya di sini.

Hadir sama Pengarah Pejabat Perancangan Dasar Antarabangsa, Biro Pelabuhan dan Dermaga Jepun, Maeda Kei.

Dalam kunjungan hormat itu, Inada berkongsi idea kepada Uggah mengenai sejarah dan pengurusan dasar terkini pelabuha Jepun.

Beliau berkata, Jepun memiliki lebih 1,000 pelabuhan dengan 10 daripadanya diklasifikasikan sebagai Pelabuhan Strategik Pukal Antarabangsa, dua sebagai Hub Kontainer Antarabangsa, mnnakala 100 sebagai pelaburan utama.

Selebihnya pelabuhan kecil diuruskan oleh pelbagai agensi dan berurusan dengan operasi sektor perikanan dan kargo kecil.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) ditemani dua Timbalannya, Dato Majang Renggi dan Ir. Aidel Lariwoo.

Turut serta dalam rombongan ialah Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap MIPD, Chiew Chee Yau, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPU), Lester Mathew,  Penyelaras Lembaga Pelabuhan Samalaju, Chin Hui Seng dan Pegawai Pentadbiran Khas Uggah, Marcus Raja.

Uggah bersama rombongan kemudian diundang melawat salah sebuah daripada 10 Pelabuhan Strategik Pukal Antarabangsa di Onahama dan dijadual melawat sebuah daripada dua Hub Kontainer Antarabangsa di Yokohama.

Menurut Uggah, MIPD memperolehi pengalaman cukup bermakna hasil daripada kunjungan itu.

“Kita menimba banyak pengalaman bagi meningkatkan pengurusan pelabuhan, fokus kepada pengurangan kos pengangkutan, melaksanakan teknologi menangani cabaran tenaga kerja dan meningkatkan kecekapan pengurusan pelabuhan secara keseluruhan.

“Pengalaman luas dan kejayaan Jepun mengurus pelabuhan memberi banyak pengajaran bermakna kepada kita.

“Kita berhasrat mewujud kolaborasi dengan MLIT untuk meningkatkan operasi pelabuhan di Sarawak  untuk menjadikannya lebih cekap dan kompetitif pada masa depan.

“Komitmen Jepun untuk meningkatkan pengurusan, penggunaan dan pengeluaran mampan, berkait rapat dengan hasrat Sarawak u ntuk mencapai Matlamat Kelestarian Pembangunan (SDGs).

“Perbincangan kita juga tertumpu kepada meningkatkan kecekapan pelabuhan sebagai komponen utama dalam menggalakkan kecekapan global,” kata Uggah.

Sumber dari : Jiwa Bakti